Pusat Internet Desa Bandar Penawar
Assalamualaikum..Salam 1 Malaysia! Minggu GEW telah bermula! Ayuh!

Pada 13.11.09 (Jumaat) PID Bandar Penawar bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat & PDK Sinar Suria Gugusan Adela telah mengadakan lawatan ke rumah-rumah pelatih OKU di Sungai Rengit. Rombongan tersebut adalah untuk menyerahkan wang sara diri sebagai perbelanjaan harian bagi warga OKU yang tidak berkemampuan untuk datang ke Pusat Latihan.


Gambar; Salah seorang pelatih OKU yang menerima bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat

Bersama-sama rombongan tersebut telah disertai oleh wartawan akhbar kosmo (En Mohd Nasri b Jamaludin) & wartawan utusan (Cik Khadijah bt Ibrahim) bagi membuat liputan mengenai perusahaan IKS membuat keropok lekor, belacan & ikan kering.


Gambar: Cik Khadijah-wartawan Utusan Melayu, Cik Azila-PID, En Mohd Nasri-wartawan Kosmo & En Raja Jaafar-Jurugambar Utusan Melayu)

Tujuan utama adalah untuk memperkenalkan produk kampung ke pasaran global. Memandangkan produk IKS ini baru sahaja mula beroperasi, KUS PID bersama-sama membantu untuk memperkenalkan produk IKS ini ke pasaran semasa.

Berikut adalah beberapa gambar sepanjang KUS PID berada dilokasi:

Sos Keropok & Keropok Lekor
SK Fitrah Enterprise
No. 47, Jalan Damai 7,
Kampung Sungai Kapal,
81600 Pengerang, Johor Malaysia.
Tel: +6012-725 5817


Gambar 1; Ikan yang telah dibuang tulang dikisar halus
Gambar 2; Isi ikan dicampur sedikit tepung diuli utk dijadikan doh. Baju merah Pn Suhana pemilik keropok lekor


Gambar 3; Doh yang besar diuli semula sehingga menjadi kecil
Gambar 4; Pn Noriah (Jabatan Kebajikan Masyarakat) & Cik Azila belajar teknik menguli doh


Gambar 5; Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat melihat proses menguli. Isi ikan tidak boleh dicampur terlalu banyak tepung.. keropok akan menjadi keras.
Gambar 6; Doh direbus sehingga timbul (siap dimakan)


Gambar 7; Hasil yang telah siap untuk dijual
Gambar 8; Mendapat ole-oleh dari pengusaha! Terima Kasih Daun Keladi!

~Lokasi seterusnya ke tempat membuat belacan!~

Pada jam 12.00 t/hari rombongan telah bergerak ke permis pengusaha membuat belacan. Perniagaan belacan telah diusahakan oleh En Saban bersama keluarganya di Kampung Bukit Raja, 81620 Sungai Rengit, Pengerang Johor. Perniagaan ini adalah turun temurun dari emak En Saban sehingga ke generasi nya yang diusahakan bersama-sama 3 orang isteri dan anak-anaknya.

Belacan yang dihasilkan adalah mengandungi campuran udang 'geragau' (udang kecil-kecil & halus) yang diperapkan bersama-sama garam. Udang ini akan dibiarkan sehingga isinya hancur dan berwarna kemerah-merahan. Ini akan menghasilkan belacan berwarna merah. Jika kandungan belacan mengandungi sotong, belacan yang dihasilkan akan menjadi warga hitam dan gelap. Belacan yang tahan lama selalunya disimpan selama setahun atau lebih. Lagi lama udang diperap, lagi lama belacan mampu bertahan. Dengan syarat kuantiti dan kualiti belacan terjamin dan bersih.

En Saban beruntung kerana beliau baru sahaja mendapat bantuan dari Lembaga Perikanan & Lembaga Pertanian Malaysia bagi mendapatkan label perniagaan dan peralatan. Namun, tidak semuanya dapat menampung kos pendapatan bulanan. Bergantung kepada permintaan dan sambutan orang ramai terhadap belacan keluarannya. Setakat ini, belacan En Saban berada dipasaran sekitar dan termasuklah daerah Kota Tinggi.

Berikut di bawah adalah sedikit cara penyediaan belacan:

Gambar 1; Udang yang telah diperap dengan garam dimesen hingga halus
Gambar 2; En Saban menunjukkan cara menumbuk udang untuk proses 'memampatkan'


Gambar 3; Belacan yang telah dimampatkan dicetak menggunakan gelung bulat (gelung diperbuat dari plastik sebagai pencetak)
Gambar 4; Belacan yang telah dicetak mengikut saiz yang 'standard'


Gambar 5; Hasil belacan yang telah dipacking. Label yang ditunjukkan adalah dicetak oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga Pertanian Malaysia.
Gambar 6; En Saban bersama 2 orang isterinya yang banyak membantu mengusahakan produk belacan. Bersama-sama penolong pengurus PID.

Sekiranya anda ingin merasa belacan ini, hubungi :

PERNIAGAAN KELUARGA SABAN (BELACAN)
KG. BUKIT RAJA, 81620 SUNGAI RENGIT,
PENGERANG JOHOR, MALAYSIA.
TEL: +6016-731 3705

~Kita ke lokasi membuat ikan kering pula!~

Seharian mempelajari teknik menghasilkan belacan, kini kumpulan rombongan bergerak pula ke perusahaan membuat ikan kering & telur masin. Perniagaan ini baru sahaja bermula selama sebulan. Memandangkan Pn Nora bt Mohd Yasir mempunyai masa terluang, beliau telah mengambil inisiatif untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Walaupun perniagaan ini baru saja bertapak, pasaran yang diperolehi agak memberangsangkan. Cuma terdapat sedikit masalah kepada Pn Nora sekiranya hari hujan. Ikan kering yang belum sempat dijemur terpaksa di perap bagi mengelakkan ikan menjadi busuk. Proses pemerapan memerlukan belanja yang banyak kerana ikan harus disimpan di dalam ais. Modal untuk mendapatkan ais adalah agak tinggi dan memerlukan tempat khas untuk menyimpan ikan.

Berikut adalah sedikit gambaran teknik menghasilkan ikan kering;


Gambar 1; Pn Nora membalik-balikkan ikan yang dijemur
Gambar 2; Ikan yang sedang dijemur dan memerlukan tempoh matang


Gambar 3; Ikan kering yang siap untuk dibungkus
Gambar 4; Pn Nora dan pekerjanya melakukan proses pembungkusan

Sekiranya anda peminat ikan kering, hubungi kami :

IKAN KERING & TELUR ASIN
PN NORA BT MOHD YASIR
NO. 112, KAMPUNG TELUK RAMUNIA,
81620 PENGERANG JOHOR, MALAYSIA.
TEL : +6019-782 6559

~ Semoga semua pengusahan produk IKS ini mendapat bantuan dan perhatian sewajarnya oleh pihak-pihak tertentu bagi memantapkan perniagaan & memasarkan produk usahawan bumiputra ke peringkat yang lebih tinggi. KUS PID Bdr Penawar juga akan memainkan peranan dalam memasarkan produk tersebut. Semoga terus berjaya!~